Akira hampir melompat terkejut apabila mendapati Haruto dan Ren bergelimpangan dan berlumuran darah. Bau busuk menujah kuat sehingga memaksanya menekup hidung. Dia masuk ke dalam bilik itu dengan perasan takut-takut. Matanya memerhati ke seluruh bilik untuk memeriksa keadaan. Ada pisau berdekatan Haruto. Di tengah-tengah Haruto dan Ren yang terdampar di atas lantai membentuk seperti bulatan itu berpusing gasing tempur berwarna hitam yang diidamkannya itu. Darah daripada dua tubuh yang bergelimpangan itu mengalir ke arah driver gasing itu. Hujung mata driver yang ligat berpusing itu memercikkan darah-darah yang bercampur ke serata tempat.
Kisah yang berlaku dalam buku ini mungkin pernah benar-benar berlaku kepada kawan kepada kawan kita, atau sepupu kepada kawan kepada kawan kita. Yakinlah, alam ghaib itu wujud. Ia sentiasa menjadi misteri kepada kita, dan rahsia kepada orang-orang yang dianugerahkan Tuhan untuk melihatnya.